Hukum Memakai Minyak Wangi Beralkohol

Posted by Shin Chan Comel | Posted in | Posted on Selasa, April 23, 2013

Tentu masih ada di antara kita yang tertanya-tanya sama ada sah atau tidak solat dengan menggunakan minyak wangi yang beralkohol kan? Saya kongsikan artikel daripada majalah Hidayah keluaran Disember 2001 mukas surat 116 ini untuk semua umat Islam yang inginkan kepastian.



Ustaz,
Apakah hukumnya seseorang itu memakai minyak wangi beralkohol dan pakaian tersebut digunakan ketika menunaikan solat? Saya ada mendengar bahawa ianya sah tetapi setahu saya alkohol itu adalah haram. Minta penjelasan Ustaz.

Midun,
Kuala Lumpur

Jawapan
Memang terdapat kekeliruan dalam memahami hukum penggunaan minyak wangi beralkohol terutamanya bila dikaitkan dengan penggunaannya semasa menunaikan solat.


Sebelum menjawab soalan saudara, kita perlu memahami akan hakikat alkohol ini dengan sebaik-baiknya. Bagaimana alkohol ini terhasil, prosesnya dan apakah ianya sama dengan alkohol yang terdapat pada arak dan sebagainya.

Para ulama mutakhir ini telah mengeluarkan fatwa bahawa ianya tidak najis dan boleh dibawa pakai untuk solat. Fatwa yang dikeluarkan ini berdasarkan hasil kajian yang menyeluruh dan dapat menyingkap hakikat penggunaan alkohol secara meluas dalam kehidupan manusia sejagat.

Antaranya ialah hukum yang dikeluarkan oleh Lembaga Fatwa Al Azhar yang berpendapat bahawa alkohol itu tidak najis manakala arak tetap najis.

Syeikh Sya'rawi menjelaskan bahawa memakai perfume yang mengandungi alkohol halal hukumnya. Alkohol hukumnya menjadi haram jika diminum untuk bermabuk-mabuk.

Menurut Kitab Al Fiqh Al Muzaahibil Arba'ah'' dalam bab 'An Najaasaat' juzu' 1 menjelaskan bahawa alkohol yang dimasukkan ke dalam minyak wangi agar tahan lama atau untuk tujuan menaikkan roti, hukumnya adalah harus.

Syeikh Rashid Redha dalam penulisan tafsirnya yang masyur iaitu Tafsir Al Manar' menyatakan bahawa hukum alkohol tidak najis dan penggunaannya dalam minyak wangi dibolehkan atas dasar tidak adanya dalil yang tegas tentang kenajisannya.

Imam Asy-Syaukaani dalam kitabnya 'Nailul Authar' juga bersependapat dengan Syeikh Rashid Redha.

(Sumber: Majalah Hidayah, 2011, muka surat 116)

ps: Kesimpulan yang saya dapat, hukumnya sah untuk solat dengan menggunakan minyak wangi beralkohol.

SCC,
23 April 2013, 8.00am

Comments (2)

yeahh .. :)

Syukur=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...