La Tahzan II

Posted by Shin Chan Comel | Posted in | Posted on Isnin, Januari 12, 2009

Ini adalah beberapa cebisan artikel dari buku La Tahzan (Jangan Bersedih) yang merupakan salah sebuah buku yang sangat saya sayangi dan menjadi rujukan ketika di saat-saat sukar.

Saya ingin kongsikan maklumat-maklumat ini dengan sesiapa pun di luar sana yang sedang menghadapi musibah atau dugaan dalam hidup mereka. Mungkin musibah-musibah itu akan membuatkan seseorang itu berasa sangat sedih, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan, mahupun berterusan menangisi/mengenang nasib diri.


JANGAN BERDUKACITA, JALAN KELUAR PASTI ADA!



Firman Allah SWT:

"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)"
At-Talaq:2

"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya"
At-Talaq:4

"Ingatlah, sesungguhnya bantuan Allah itu amat dekat."
Al-Baqarah:214

Salah seorang pujangga bermadah:

Alangkah banyak jalan keluar yang datang selepas rasa putus asa dan betapa banyak kegembiraan datang selepas kesusahan.

Jika masalah sudah terlalu sukar, tunggulah jalan keluarnya sebab ia akan segera menemukan jalan keluarnya.

Sesiapa yang berbaik sangka kepada Penguasa 'Arasy dia akan memetik manisnya buah yang dipetik di tengah-tengah pohon berduri.

Manakala dari sebuah pepatah arab:

Jika seutas tali itu sudah sangat tegang, nescaya ia akan segera putus (jalan keluar akan tiba).

Renungkanlah juga ayat-ayat di bawah ini..

"Di dunia ini, ramai orang yang kaya kerana lebih dahulu bersusah payah dalam masa mudanya. Sebab itu, tidak perlu berduka jika anda mesti bersusah payah, tidak perlu takut dengan beban hidup, sebab mungkin sahaja beban hidup itu akan menjadi kekuatan bagimu dan akan menjadi satu nikmat pada suatu hari nanti."

"Kesusahan yang datang sebelum kemudahan itu bagai rasa lapar yang datang sebelum ada makanan, hingga letak kesusahan itu akan bergandingan dengan datangnya kemudahan selepas itu, dan makanan akan terasa lazat dimakan ketika bersama lapar"

Dan juga renungkanlah kata-kata Plato ini..

"Kesenangan itu bagai malam, kerana anda tidak pernah berfikir panjang tentang apa yang anda berikan atau apa yang anda dapat. Dan kesusahan itu bagai siang sebab anda melihat dengan jelas apa yang anda usahakan dan apa yang diusahakan oleh orang lain"

Dan juga..
Ujian itu tidak ubah seperti penyakit, apabila tiba masanya nanti pasti akan sembuh. Sesiapa terburu-buru untuk membuangnya maka keadaan tubuhnya semakin lemah dan semakin parah. Begitu pulalah dengan musibah dan ujian, apabila tiba masanya nanti akan hilang bersama-sama bekasnya. Sebab itu, kewajiban orang yang mendapat ujian adalah bersabar, menunggu datangnya jalan keluar, dan sentiasa berdoa."

Semoga ilmu ini dapat kita manfaatkan bersama.


Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusanku dan urusan insan-insan tersayang di dalam hidupku. Ya Allah, Engkau berikanlah ketabahan dan kekuatan kepada kami untuk menghadapi segala jua cabaran dan dugaan yang datang dariMu..amin Ya Allah.

SCC

Comments (0)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...